top of page

PROTON & TUNE D BERGABUNG, MELETOP!


Mungkin ramai yang masih belum mengenali TuneD, iaitu satu jenama aksesori kenderaan tempatan yang sebelum ini pernah tampil di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2013, dan menampilkan kerja mereka pada sebuah Preve. Itu hanyalah satu prototaip, tetapi kini, produknya sudah sedia untuk jualan umum.

Sebagai permulaan, TuneD menyediakan kit badan dan dalaman untuk tiga model Proton iaitu Preve, Saga dan Persona, dalam tiga pakej untuk setiap model iaitu Standard, Executive dan Premium, dengan harga yang bermula pada RM5,000. Harga ini adalah untuk pakej asas yang merangkumi bampar hadapan dan belakang, lampu siang LED, gril, side skirt, antena shark fin dan cat warna merah khas TuneD yang digelar Fierce Red.

Dalam pakej Executive pula, selain barangan pada pakej Standard tadi, ia turut ditambah dengan lampu LED hiasan, tempat duduk kulit depan dan belakang, trim pintu dan lapik di dalam bahagian but untuk semua model, tetapi bagi Saga, ia ditambah dengan lapik penyerap bunyi di bahagian hud depan.

Melalui pakej Premium pula, pembeli akan menerima rim TuneD – 16 inci untuk Saga dan Persona, dan 17 inci bagi Preve, bersama tayar, dan untuk Saga, ia ditambah lagi dengan sistem tanpa kunci dan butang pemula enjin.

Bagi yang tertanya kenapa harganya sebegitu, produk TuneD sebenarnya dihasilkan dari awal, bermula dari rekaan asal tersendiri sehinggalah ke produk akhir oleh warga tempatan, dan melalui pelbagai proses pembangunan termasuk ujian aerodinamik. Ujian ini walaubagaimanapun dilakukan secara virtual dan bukannya di dalam terowong angin.

TuneD juga menjamin, produk mereka ini boleh dipasang secara kemas, bermaksud semua tapak skru dan klip asal masih boleh digunakan, tiada jurang pada setiap penjuru dan ia tidak akan mengganggu prestasi kenderaan.

Kit naik taraf TuneD ini bukan sekadar datang sebagai satu produk, tetapi juga siap dengan servis pemasangan bagi memastikan ekslusivitinya. Mereka juga tidak akan menjualnya bagitu sahaja untuk dibawa pulang dan dipasang sendiri. Apabila pemilik sah membelinya, wakil TuneD akan datang mengambil kereta anda, dan ia akan dipasang sendiri oleh pekerja TuneD sehingga siap, dan ini dijangka mengambil masa sekitar dua minggu termasuk cat keseluruhan badan.

Kit badan yang digelar sebagai edisi pertama ini hanya akan dikeluarkan sekitar 500 unit sahaja, dan selepas itu, TuneD akan membangunkan rekaan baru, bagi memastikan produk mereka sentiasa segar dalam pasaran.

Bagi yang tertanya latar belakang TuneD, ia sebenarnya adalah satu jenama tempatan yang disokong oleh sebuah syarikat teknologi dan inovasi (juga tempatan) yang sudah beroperasi lebih 10 tahun. Dalam TuneD sendiri terdapat 150 jurutera pelbagai bidang, dan kebanyakan mereka mendapat latihan terus di Jepun untuk penghasilan kit kenderaan seperti ini dengan betul.

Tidak cukup dengan itu, TuneD juga menggunakan khidmat penasihat pakar dalam bidang ini, termasuk salah seorang daripadanya adalah bekas presiden Nismo, yang sudah bekerja dengan Nissan lebih 35 tahun iaitu Yuichi Sanada dan pakar NVH (noise, vibration and harshness) juga bekas pekerja Nissan iaitu Koichi Osumi.

Untuk fasa awal ini, TuneD ingin fokus kepada produk kenderaan Proton terlebih dahulu, diikuti dengan Perodua, dan kemudiannya mungkinlah baru menghasilkan produk untuk kenderaan jenama lain. Selain kit badan dan dalaman, TuneD juga sedang membangunkan pelbagai lagi barangan naik taraf kenderaan termasuk peralatan elektronik seperti meter digital dan sistem hiburan, enjin serta pengendalian.

Untuk info lanjut, boleh klik pada link di bawah.

Sumber : paultan.org


Recent Posts
Archive
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Instagram Social Icon
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page